.

Melopong mulut ana bila terbaca apa yang nenek Pidah cakap ini. Tiada yang ori pun, sebijik macam Pak Lah zzz punya style – nak meneruskan proses pemanasan tempat duduknya sehingga last minit.

Kesian, Shahrizat. Kena tunggu sampai Jun 2009 sebelum dapat berbuat apa-apa untuk kesejahteraan Wanita UMNO. Bersabarlah, minum banyak-banyak Brands Essence of Chicken dsbnya sementara menunggu masa mengambil kuasa. Tapi janganlah leka ya, ramai lagi wanita yang tidak kurang terrornya, mungkin mahu mengambil peluang merampas takhta sebelum kuasa ditangan menjadi kenyataan.

Kesian, Wanita-wanita UMNO. Kena tunggu sampai Jun 2009 sebelum dapat melambai bye-bye kepada nenek Pidah. Lepas itu kenalah bertungkus-lumus membanting tulang dengan masa yang singkat membuat kerja-kerja di akar umbi sebelum datang pilihanraya ke13….

.

Laporan Utusan Malaysia seperti berikut:

.

PENGGANTI SAYA… Rafidah Aziz mengangkat tangan bakal pengganti beliau, Shahrizat Abdul Jalil selepas Majlis Wanita Bersama Pemimpin di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Tan Sri Rafidah Aziz hari ini mengumumkan akan melepaskan jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO selewat-lewatnya Jun tahun depan.

Sehubungan itu, Rafidah berharap tiada pertandingan untuk kedua-dua jawatan tertinggi pergerakan itu pada pemilihan Disember ini bagi membolehkan beliau menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Naib Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

“Pilihan ini akan mengelakkan perpecahan, memastikan terdapat perubahan kepimpinan dan parti tidak dibelenggu dengan soal calon dan mencalon pemimpin,” katanya.

Beliau membuat pengumuman itu ketika berucap pada Majlis Wanita Bersama Pemimpin anjuran pergerakan itu yang dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Shahrizat.

Ucapan Rafidah itu menyebabkan Dewan Tun Hussein Onn yang dipenuhi kira-kira 800 pemimpin pergerakan wanita dari seluruh negara senyap-sunyi kerana masing-masing tidak menyangka beliau akan membuat kenyataan itu.

Rafidah memegang jawatan Ketua Wanita sejak 1984 setelah mengalahkan Tan Sri Zaleha Ismail tetapi gagal mempertahankan jawatan itu pada 1996 selepas tewas kepada Naib Ketuanya, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman.

Bagaimanapun, beliau kembali memegang jawatan itu pada 2000 setelah merampasnya daripada Siti Zaharah.

Rafidah memberitahu, beliau telah memikirkan isu peralihan kepimpinan dalam Wanita UMNO dan kecenderungannya adalah untuk memastikan pergerakan yang menjadi ‘tulang belakang’ UMNO itu diketuai oleh individu yang lebih muda.

“Saya akan mencapai usia 65 tahun tidak lama lagi (pada 4 November 2008). Walaupun saya masih kuat dan aktif dalam semua erti kata, saya lebih cenderung pergerakan ini diketuai oleh wanita yang lebih muda,” ujarnya.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, sebelum ini beliau mempunyai dua pilihan.

Pertama, tidak bertanding dalam pemilihan yang boleh mengakibatkan berlaku pertandingan untuk dua jawatan iaitu Ketua dan Naib Ketua.

“Pertandingan itu kelak pasti sengit dan akan berlaku perkara yang melemahkan pergerakan termasuk fitnah-memfitnah, berpuak-puak dan perpaduan akan tercabar,” ujarnya.

Pilihan kedua pula, katanya, ialah memastikan tiada pertandingan untuk kedua-dua jawatan tertinggi itu.

Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu yang telah bersama UMNO sejak 42 tahun lalu percaya kekuatan Wanita UMNO menyumbang kepada kekukuhan parti dan kerajaan.

“Jangan pula ada orang bertanya betulkah Rafidah nak lepaskan jawatan pada pertengahan 2009? Boleh percayakah? Saya ialah orang yang kata dikotakan. Saya tak pandai bermuka-muka.

“Saya tidak hendak Wanita UMNO berpecah-belah. Saya tiada benda nak diserahkan. Jawatan saya ketua sahaja. Saya hendak serah cepat (jawatan) supaya proses pemulihan cepat berlaku,” katanya.

Pada sidang akhbar selepas itu, Rafidah memberitahu, keputusannya untuk melepaskan jawatan kepada Shahrizat, 55, selewat-lewat pertengahan 2009 dibuat ketika beliau bercuti sakit kerana menjalani pembedahan lututnya dua minggu lalu.

“Ini adalah keputusan saya sendiri… Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pun saya tidak beritahu, cuma saya ada maklumkan kepada Datuk Seri Shahrizat mengenai hasrat ini dan ia adalah muktamad.

“Ini bukan soal hendak sayang sesiapa, sebaliknya ia adalah langkah paling praktikal bagi memberikan masa kepada Shahrizat untuk mengukuhkan Wanita UMNO,’’ jelasnya.

Ditanya apakah tindakannya jika terdapat pihak yang masih ingin mencabarnya pada pemilihan Disember ini, Rafidah menjawab: “Saya tidak akan bertanding kerana tidak mahu perpecahan berlaku.”

.

Malaysiakini dan liputan awal blogger di sini.