.
Seandainya kumpulan Kempen Selamatkan MCA berjaya menggulingkan Ong Tee Keat, apakah yang akan terjadi kepada segala inisiatif pembaharuan yang dijanjikan oleh Tee Keat untuk parti? Bagaimanakah pula dengan isu PKFZ yang merupakan faktor pemangkin kepada kekalahan teruk BN/MCA di Selangor pada PRU 12 lepas?

.

Artikel:


Sebarang cakap-cakap dan spekulasi mengenai wujudnya pihak-pihak tertentu yang cuba mensabotaj kepemimpinan Presiden MCA, Dato Sri Ong Tee Keat yang hangat diperkatakan di dalam media massa sejak sekian lama, akhirnya terjawab juga.

Pada 26 Ogos yang lalu, selepas Majlis Presiden menerima syor daripada Jawatankuasa Disiplin Parti untuk memecat Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berhubung skandal seks, sebuah kumpulan protem bernama Kempen Selamatkan MCA yang diterajui oleh pengerusinya, Datuk Theng Book telah diaktifkan semula.

Matlamat mereka adalah mudah iaitu untuk mendapatkan seberapa banyak tandatangan yang mungkin untuk memaksa Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) seterusnya menggulingkan Presiden MCA itu.

Kemunculan Theng Book dan anggota-anggota kumpulan di saat MCA dalam krisis bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Masih ingatkah anda dengan kemunculan kumpulan tersebut dua tahun yang lalu apabila mereka dengan lantang tampil membantah kepemimpinan Ka Ting kerana percaya mantan Presiden MCA itu terlibat dalam perancangan rakaman video seks Soi Lek?

Dan beberapa hari lalu, kumpulan berkenaan sekali lagi tampil dan berlakon sambil mendakwa MCA kononnya telah berpecah gara-gara kerana angkara Tee Keat yang cuba memecat Soi Lek. Yang menariknya mengenai Kumpulan Kempen Selamatkan MCA ini, kedua-dua penampilan mereka adalah untuk tujuan yang sama iaitu isu skandal seks Soi Lek.

Perkembangan ini sekali gus telah mencetus persoalan, adakah kumpulan terbabit mempunyai perkaitan dengan Soi Lek namun tuduhan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh Theng Book dalam satu sidang media beberapa hari sudah. Apakah motif mereka? Mengapakah sekarang?

Dan ini membawa kita kepada kumpulan Kempen Selamatkan MCA yang diterajui Theng Book. Mengapakah mereka menamakan Kempen Selamatkan MCA? Apakah yang perlu diselamatkan? Parti atau pemimpin?Adakah dengan kenyataan Pengerusi Kempen Selamatkan MCA itu bermakna parti tersebut sebenarnya dalam keadaan yang tenat?

Semenjak barisan pucuk kepemimpinan parti dipilih tahun lalu, beberapa inisiatif pembaharuan telah pun mula dilaksanakan. Antaranya, MCA bakal mengadakan pemilihan jawatan Presiden secara langsung bermula pada 2011. Selain itu, MCA di bawah kepemimpinan Tee Keat telah mula membersihkan senarai daftar ahli parti yang selama ini dibelenggu dengan dakwaan pengundi hantu.

Apakah beberapa inisiatif yang dilaksanakan oleh barisan kepemimpinan parti itu
Apakah kewajaran kumpulan tersebut untuk menggulingkan Tee Keat hanya disebabkan oleh seorang Timbalan Presiden dipecat?

Harus diingat mana-mana parti politik termasuklah MCA tidak berkisar kepada seorang individu. Sebaliknya, semua parti politik hanya akan mara ke hadapan dan menggerunkan musuh jika ia bergerak sebagai sebuah pasukan yang mantap.

Apa yang berlaku ketika ini dalam MCA amatlah menyedihkan. Tatkala sokongan masyarakat Cina kepada MCA dan BN berada pada paras yang mendukacitakan, ini bukanlah masanya untuk menggulingkan Presiden. Sudah tentu Jawatankuasa Disiplin Parti mempunyai sebab-sebab kukuh untuk memecat Soi Lek.

Soi Lek seharusnya menerima keputusan tersebut dengan dada yang lapang. Kepada pengikut dan pemimpin-pemimpin MCA lain, janganlah terlalu emosi dan membiarkan emosi mengaburi pemikiran anda. Elakkan daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur bantahan atau dendam yang boleh menjejaskan keharmonian parti.

Seandainya kumpulan Kempen Selamatkan MCA berjaya menggulingkan Tee Keat, apakah yang akan terjadi kepada segala inisiatif pembaharuan yang dijanjikan oleh Tee Keat untuk parti? Bagaimanakah pula dengan isu PKFZ yang merupakan faktor pemangkin kepada kekalahan teruk BN/MCA di Selangor pada PRU 12 lepas?

Jika ini boleh berlaku kepada Ka Ting dan Tee Keat, maka tidak ada jaminan di masa hadapan bahawa kempen sedemikian tidak akan digerakkan untuk memburuk atau menjatuhkan presiden parti yang baru sekiranya tidak sehaluan dengan kehendak mereka.

Jika inilah senarionya dalam MCA selepas ini, maka segala harapan untuk mengembalikan imej dan sokongan masyarakat Cina akan bertambah sukar. Masyarakat Cina melihat krisis sekarang dengan penuh dukacita dan jangan terkejut jika penangan pengundi Cina kepada pembangkang bertambah kuat ekoran episod hitam ini. Paling gembira ekoran episod hitam ini sudah tentulah DAP dan konco-konconya.

Ahli-ahli parti seharusnya memberikan sokongan padu dan berdiri teguh di belakang kepemimpinan Tee Keat dalam melaksanakan agenda pembaharuannya. Ini bukan lagi masa untuk bertelingkah tatkala masa untuk PRU ke-13 hanya berbaki dua tahun sahaja lagi. Masa itu emas dan sudah tiba masanya MCA melakar satu episod baru dalam perjuangan mereka. Pemimpin datang dan pergi tetapi parti hanyalah satu.

Justeru, jangan biarkan sejarah hitam yang menimpa parti, berulang kembali.

~Li Yi Lian Ci (礼义廉耻)