————————-

“Dengan adanya nilai berpolitik yang sihat lagi telus, ia secara tidak langsung akan memberikan kesempatan kepada pucuk kepemimpinan parti untuk memperkasakan budaya politik yang sihat dalam parti selain menjadi teladan kepada parti komponen lain dalam usaha agenda pembaharuan mereka. Teladan yang harus ditunjukkan di sini ialah bukan sahaja para pemimpin parti perlu bersih bahkan juga para perwakilan itu sendiri.. Sudah tentu, tekanan terhadap para perwakilan untuk membuat pilihan yang betul adalah cukup tinggi. Apa tidaknya, undian kali ini bagaikan penentu kepada hidup mati MCA.”

Baca artikel penuh:

Wajarkah perwakilan MCA membiarkan parti telah banyak berbakti kepada komuniti Cina selama enam dekad di negara ini terus menjadi bahan gurauan dan cercaan umum disebabkan oleh krisis yang dipolitikkan sekarang?

Inilah antara persoalan-persoalan yang harus difikir dan direnungkan bersama oleh para pemimpin MCA dan seramai 2,377 perwakilan menjelang Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan berlangsung di Dewan Lee San Choon, pagi Sabtu 10 Oktober ini.

Segala fokus kini akan tertumpu kepada 2,377 perwakilan yang akan mengundi untuk lima resolusi yang ditetapkan. Paling mencuri tumpuan dalam lima resolusi tersebut adalah resolusi 1 iaitu undi tidak percaya terhadap kepemimpinan presiden parti Ong Tee Keat; resolusi ke-2 yakni mengembalikan Chua Soi Lek sebagai ahli parti (Jawatankuasa Pusat MCA telah membuat keputusan akhir untuk menggantung keahlian beliau selama empat tahun); serta resolusi ke-3 mengembalikan semula Soi Lek sebagai Timbalan Presiden. Hasil pengundian dari ketiga-tiga resolusi ini bakal menentukan siapakah antara mereka berdua yang akan menguasai sokongan majoriti.

Para perwakilan yang akan mengundi untuk lima resolusi yang ditetapkan, kini mempunyai tugas berat untuk memastikan pilihan mereka tidak akan terus mengheret parti tersebut ke dalam keadaan ketidaktentuan yang lebih parah.

Ya, 10 Oktober ini, para perwakilan bakal menjadi kingmaker yang akan mencorakkan hala tuju MCA untuk tahun-tahun mendatang..

Setiap perwakilan perlulah bijak menganalisa intipati lima resolusi yang ditetapkan. Walaupun pada dasarnya intipati kelima-lima resolusi itu nampaknya agak berterus-terang, ada baiknya juga perwakilan meneliti semasak-masaknya resolusi berkenaan kerana tiga daripada lima resolusi yang dikemukakan bakal memberi impak kepada masa depan dan kestabilan parti.

Setiap perwakilan juga haruslah matang menggunakan hak mereka, matang berpolitik dan matang membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Hak sebagai perwakilan parti merupakan jerih-payah yang diusahakan oleh anda maka janganlah dipersiakan peluang ini untuk membuat pendirian yang rasional.

Persoalannya, sebagai seorang perwakilan, untuk apakah anda dilantik sebagai perwakilan parti? Adakah anda rela menjadi seorang perwakilan parti yang hanya sekadar memanaskan bangku di dewan? Adakah anda rela sekadar untuk menjadi seorang perwakilan yang tidak berbuat apa-apa dan diperkotak-katekkan oleh pemimpin tertentu? Relakah anda menjadi seorang perwakilan yang digelar sebagai pak turut, tiada pendirian dan perwakilan yang tidak mempunyai prinsip serta harga diri masing-masing?

Jelas, masyarakat Cina dan MCA tidak memerlukan jenis perwakilan sebegini. Apa yang mahu dilihat oleh masyarakat Cina secara keseluruhannya ialah para perwakilan yang mahu berfikir secara rasional lagi wajar mengenai sesuatu isu tanpa dipengaruhi oleh mana-mana elemen, berintegriti serta mampu berganding bahu bersama-sama dengan pucuk kepemimpinan parti dalam merealisasikan agenda pembaharuan negara.

Apa yang berlaku di dalam MCA ketika ini dan niat sekumpulan untuk memaksa pucuk kepemimpinan tunduk kepada desakan mengadakan EGM, menjadi saksi kepada berleluasanya amalan tersebut.

Sudah tentu, tekanan terhadap para perwakilan untuk membuat pilihan yang betul adalah cukup tinggi. Apa tidaknya, undian kali ini bagaikan penentu kepada hidup mati MCA. Satu langkah atau percaturan silap daripada mereka akan mengakibatkan salah seorang daripada pemimpin parti tadi, tersungkur dan menamatkan kerjaya politik mereka. Tersungkurnya salah seorang daripada pemimpin terbabit juga secara tidak langsung menandakan berkuburlah kepentingan mereka dalam parti MCA.

Pada hemat saya, krisis politik ini tidak akan berakhir jika pihak yang mendesak penganjuran EGM enggan untuk menerima keputusan para perwakilan yang mungkin tidak memihak kepada mereka. Apakah reaksi dan tindakan mereka selepas ini seandainya keputusan tidak memihak kepadanya? Apakah ada jaminan mereka tidak akan melakukan sesuatu yang drastik bagi terus memberi tekanan kepada pucuk kepemimpinan parti?

Namun dalam kebanyakan contoh yang kita dapat lihat, kelazimannya pemimpin itu akan terus mengukuhkan kuasa sementara suara hati rakyat dan perwakilan diperlekehkan.

EGM kali ini bukan berkisar kepada Tee Keat atau Soi Lek tetapi lebih kepada nasib serta survival MCA dalam landskap politik negara biarpun rangkaian media massa memberikan gambaran yang sebaliknya. Sudah pun ditolak dengan begitu teruk sekali pada PRU 12 tahun sudah, kemelut terbaru ini bakal menyukarkan lagi usaha kepemimpinan parti untuk bergerak ke hadapan.

Mungkin elok juga para perwakilan mengambil perhatian terhadap komen-komen yang dibuat oleh seorang pemimpin komuniti terkenal, Tan Sri Robert Phang. Phang yang sebelum ini sudah membuat gesaan kepada para perwakilan MCA untuk membuat pilihan yang rasional menerusi sesi temuramah lalu, sekali lagi menyeru perwakilan untuk mengetepikan sentimen peribadi dan menilai kedua-dua pemimpin itu berpandukan kepada tiga aspek iaitu integriti, akauntabiliti dan moraliti mereka.

Para perwakilan, tegas beliau lagi, perlu ingat bahawa kedudukan yang dicapai mereka sekarang adalah kerana budi bicara masyarakat Cina dan oleh sebab itu, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk mengundi secara berwibawa dan menggunakan conscience mereka.

Apa yang diperlukan oleh MCA bukanlah kalangan pemimpin yang bercita-cita tinggi sebaliknya seorang pemimpin yang berani membawa perubahan bukan sahaja kepada parti yang diterajuinya bahkan juga kepada komuniti Cina yang diwakilinya. MCA perlukan seorang pemimpin yang berintegriti, berwibawa serta jujur dalam perjuangannya.

Pada masa yang sama, MCA juga perlukan seorang pemimpin yang berani memperjuangkan apa yang benar dan tidak sekadar menjadi pak turut kepada mana-mana pihak berkepentingan. Sebagai parti komponen kedua terbesar dalam BN selepas UMNO, pemimpin-pemimpin MCA harus berani memperjuangkan sesuatu isu secara tuntas, mempunyai conviction dan senantiasa meletakkan agenda rakyat di hati mereka biarpun ada kalanya ia bertentangan dengan pendapat pemimpin BN lain.

Inilah yang dimahukan oleh pengundi-pengundi Cina daripada MCA, sesuatu yang barangkali gagal dilakukan sejak sekian lama dan dapat menjelaskan mengapa kesabaran dan keyakinan masyarakat Cina terhadap MCA dari semasa ke semasa semakin berkurangan.

MCA perlukan satu hala tuju baru – sebuah hala tuju baru yang akan memacu MCA keluar daripada kepompong lama dan bersedia menghadapi realiti baru. Realiti baru dalam konteks ini ialah iklim politik yang semakin cenderung kepada politik multi-racial. Tidak dinafikan citarasa pengundi kini tertumpu kepada parti politik yang sanggup memperjuangkan kepentingan pelbagai kaum dan mahu tidak mahu, suara pengundi perlu diberi perhatian.

Amalan-amalan negatif seperti semangat berpuak-puak, fanatisme terhadap seseorang pemimpin dan amalan patronage tidak harus mendapat tempat dalam parti sebaliknya amalan-amalan negatif berkenaan haruslah memberi laluan kepada satu bentuk nilai berpolitik yang sihat, terbuka dan telus.

Dengan adanya nilai berpolitik yang sihat lagi telus, ia secara tidak langsung akan memberikan kesempatan kepada pucuk kepemimpinan parti untuk memperkasakan budaya politik yang sihat dalam parti selain menjadi teladan kepada parti komponen lain dalam usaha agenda pembaharuan mereka. Teladan yang harus ditunjukkan di sini ialah bukan sahaja para pemimpin parti perlu bersih bahkan juga para perwakilan itu sendiri.

Jika seseorang perwakilan parti merupakan seorang yang tidak bersih dari segi integriti dan moralnya, layakkah mereka untuk membuat penghakiman atau bersuara terhadap pemimpin parti lain? Tepuk dada, tanyalah selera!

Jika kita masih ingat selepas kekalahan besar pada PRU 12, terdapat suara-suara dari kalangan perwakilan agar MCA menjalani perubahan bagi memastikan ia kembali relevan dalam persada politik negara. Apabila Tee Keat dipilih sebagai Presiden MCA pada Oktober 2008 lalu dan apabila beliau bertekad untuk melaksanakan agenda pembaharuan dalam parti, suara-suara yang mahukan pembaharuan tiba-tiba tenggelam.

Sudah menjadi satu kebiasaan untuk segelintir pemimpin parti malah perwakilan yang hanya mahu berada dalam zon selesa dan enggan untuk berubah. Bagi kumpulan pelaku ini, mengharungi perubahan bermakna mereka terpaksa meninggalkan amalan lama mereka.

Berubah bagi mereka juga bererti mereka tidak boleh lagi berbuat sesuatu secara terbuka dan sesuka hati. Perwatakan siege mentality yang sudah tertanam dalam minda perwakilan tidak akan membawa parti MCA ke mana. Apabila para pemimpin dan perwakilan tidak bersedia mengharungi perubahan, mereka bukan sahaja ketinggalan tetapi juga sebenarnya takut akan bayangan sendiri. Lebih buruk lagi, mereka sebenarnya sedang menipu diri sendiri.

Sesungguhnya, krisis politik yang menimpa MCA ketika ini merupakan satu lagi episod hitam dalam sejarah parti tersebut yang tidak pernah sunyi daripada kontroversi. Pertelagahan antara dua pemimpin tertinggi MCA sekarang membabitkan Presiden parti, Dato’ Sri Ong Tee Keat dan timbalannya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek bukanlah perkara baru.

Malah dalam sejarah 60 tahun penubuhannya, MCA pernah digemparkan dengan beberapa siri krisis politik membabitkan dua pemimpin tertingginya. Bermula dari era Tun Tan Siew Sin apabila beliau dicabar oleh Tun Lim Keng Yaik, Lee San Choon oleh Michael Chen (awal 1980-an), Tan Koon Swan oleh Neo Yee Pan dalam pertengahan 1980-an dan yang krisis politik pada 2001 membabitkan Tun Dr. Ling Liong Sik dan Tan Sri Lim Ah Lek.

Pada ketika apabila masyarakat Cina bergantung harap kepada MCA untuk memperjuangkan nasib dan kebajikan mereka, kemelut politik antara Soi Lek dan Tee Keat ini jelas telah meninggalkan keadaan yang kurang senang terhadap kelakuan segelintir pemimpin politik selain menjadikan masyarakat Cina semakin tawar hati.

Jika benarlah apa yang dilaporkan dalam sebuah portal berita tempatan yang mengatakan bahawa masyarakat Cina sudah tidak kisah lagi dengan apa yang berlaku di dalam MCA, maka perkembangan tersebut merupakan satu azimat buruk yang harus diambil perhatian oleh pucuk kepemimpinan.

Pudarnya minat dan perhatian masyarakat Cina terhadap MCA membawa makna parti tersebut telah kehilangan sokongan terasnya iaitu komuniti Cina yakni komuniti yang diwakilinya. Dan apabila kumpulan teras yang diwakilinya sudah tidak menyokong mereka, maka apa yang ada lagi yang boleh disandarkan oleh MCA selepas ini?

Masa untuk membina kembali kekuatan parti tidaklah banyak. Persediaan untuk menghadapi PRU 13 yang dijangka diadakan selewat-lewatnya pada 2013 harus bermula dari sekarang. Kepada pihak yang kalah, terimalah keputusan perwakilan dengan hati yang lapang dan ikhlas.

Jika perwakilan telah menyatakan pendirian mereka untuk menolak resolusi-resolusi yang dikemukakan, jangan ada pula yang protes dan melemparkan pelbagai dakwaan bagi mengeruhkan keadaan. Bagi pihak yang menang pula, inilah masa terbaik untuk merapatkan kembali perpaduan dalam kalangan ahli dan melaksanakan agenda pembaharuan yang amat diperlukan oleh MCA.

Semua sedia maklum masyarakat Cina terkenal dengan warisan dan budaya yang sudah mencecah lebih 5,000 tahun lamanya. Selain itu, masyarakat Cina juga terkenal dengan sifat kebijaksanaan mereka. Maka berpandukan kepada premis ini, para perwakilan kini mempunyai tugas berat untuk memenuhi jangkaan terhadap penanda aras yang telah ditetapkan. Jadi terpulanglah kepada perwakilan bagaimana untuk memanfaatkan anugerah yang dikurniakan kepada mereka.

~Rakyat Malaysia Yang Prihatin